|
|
|
|
Singapura : 2 Januari 2006TUISYEN MUSIM CUTI SUDAH JADI TREND
Ibu bapa buat persiapan awal bagi anak hadapi persekolahanOleh
Rabiatul Adawiya BinhanPERMAINAN 'X-Box' atau 'Nintendo' kini mungkin bukan lagi aktiviti yang menjadi teman para pelajar cuti sekolah kali ini.
Cuti sekolah mereka kini lebih dipenuhi dengan kelas-kelas tuisyen untuk persiapan pembukaan sekolah tahun ini.
Sedang sekolah hampir menutup pintunya bagi aktiviti akademik, ibu bapa pula bertambah sibuk mendaftarkan anak-anak mereka untuk kelas tuisyen dan kursus-kursus kemahiran diri seperti teknologi maklumat.
Beberapa agensi tuisyen dan pusat pengajian peribadi yang dihubungi Berita Harian kini akur bahawa bahawa sejak kebelakangan ini, lebih ramai ibu bapa yang membuat persiapan untuk anak-anak mereka bagi menghadapi sesi akademik 2006 seawal November lalu.
Pegawai Publisiti dan Promosi BMC Academy, Cik Yasmin Kamal, berkata kebanyakan ibu bapa juga tidak lokek untuk memastikan anak-anak mereka mendapat persiapan sepenuhnya sebelum sekolah dibuka.
'Duit tidak menjadi masalah kepada kebanyakan ibu bapa yang kadangkala menghantar seramai empat anak-anak mereka untuk kursus dan kelas-kelas tuisyen,' katanya.
Pemilik agensi tuisyen SR Edulink, Cik Ramlah Johan, juga bersetuju bahawa ramai ibu bapa yang ghairah untuk memberikan persiapan akademik kepada anak-anak mereka.
'Ibu bapa kini lebih mengambil berat akan pelajaran anak-anak mereka dan tidak mahu anak mereka ketinggalan dalam pelajaran mereka.
'Cuti sekolah ini digunakan untuk membekalkan anak-anak mereka dengan pengetahuan yang sepenuhnya supaya mereka tidak menghadapi pelbagai masalah apabila sekolah dibuka,' kata beliau.
Seorang lagi pemilik agensi tuisyen NMIC, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Noor pula berkata:
'Tidak semua ibu-bapa yang memulakan persiapan seawal November. Kebanyakan daripada mereka makan angin bersama keluarga dan hanya mulakan kelas-kelas tuisyen akhir Disember.'
Bagi seorang suri rumah, Cik Sutina Salleh, beliau mula menghantar kedua-dua anaknya ke kelas tuisyen sejak akhir bulan lalu.
'Taraf pengajian di Singapura semakin meningkat dan saya tidak mahu anak-anak saya gagal dalam peperiksaan.
'Kami sebagai ibu bapa harus menyediakan anak-anak persiapan yang lengkap untuk mereka hadapi persekolahan yang dibuka bagi tahun baru,' kata beliau yang mempunyai anak kembar yang akan menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini.
Singapura : 2 Januari 2006
IBU RISAU ANAK KESUNTUKAN MASA
MENGEJAR masa.
Itulah yang membuat Cik Hamidah Mohd Shariff, 47 tahun, berasa takut dan mula mendapatkan guru tuisyen seawal lewat November lalu.
Anaknya, Nurulain Kamalruzaman, 17 tahun, pelajar Maktab Rendah Tampines mendapat markah agak 'mengecewakan' terutama dalam subjek Matematik 'C' tahun lalu.
Nurulain akan menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'A' pada tahun ini.
Menurut Cik Hamidah, oleh kerana tidak ramai orang yang boleh mengajar subjek Matematik 'C' dengan baik, beliau terpaksa mula mencari guru tuisyen sejak November lalu .
Beliau juga ingin anaknya mula mengulang kaji pelajarannya semasa cuti sekolah agar dapat mendalami pelajarannya apabila sekolah mula dibuka esok.
'Waktu cuti ialah waktu yang sesuai untuk anak-anak mengulang kaji pelajaran kerana aktiviti dan komitmen di sekolah agak kurang.
'Saya risau jika dia tunggu sampai sekolah dibuka, ia sudah suntuk kerana pelajaran akan bertambah dan ini tentu menjadikannya lebih susah,' kata kakitangan awam itu.
Malah ini bukanlah kali pertama Cik Hamidah, yang mempunyai dua orang anak, harus mendapatkan bantuan tuisyen bagi anak-anaknya.
Menurut beliau, setiap kali anak-anak beliau akan mengambil Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'O', beliau akan memastikan bahawa mereka memulakan tuisyen seawal Disember.
'Walaupun kadangkala kos perbelanjaan tuisyen memang agak mahal, ia penting kerana persiapan untuk pelajaran tidak boleh dibuat pada masa yang suntuk,' kata beliau lagi.
** Cik Hamidah Mohd Shariff telah mendapatkan khidmat tutor Ms Sheila Mayrhofer, daripada SR Edulink Tuition Agency.
bravenet.com